Raja Azmi diikat jamin RM 8, 000

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Disebabkan tidak hadir memberi keterangan dalam satu kes saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Julai lalu, penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman hampir dikenakan tindakan mahkamah hari ini.

Ini kerana, Hakim Datuk Lim Yee Lan menyifatkan ketidakhadiran wanita itu walaupun sapina telah dikeluarkan lebih tiga kali sebagai menghalang dan mengganggu proses mahkamah sehingga menyebabkan perbicaraan kes itu terpaksa ditangguhkan.

Raja Azmi bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan RM8,000 selepas rakannya, Zahrin Aris membayar wang ikat jamin tersebut berikutan suaminya yang juga bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek tidak dibenarkan menjadi penjamin kerana telah diisytiharkan muflis.

Hakim turut memerintahkan agar Raja Azmi hadir ke mahkamah setiap kali prosiding dijalankan sehingga kes membabitkan dirinya, Jalani dan syarikat milik pasangan itu, Equal Alliance Sdn. Bhd. diputuskan.

Beliau membuat keputusan itu selepas Raja Azmi yang memakai baju kurung moden berwarna merah dan biru hadir ke mahkamah hari ini dengan diiringi beberapa anggota polis kira-kira pukul 9.25 pagi.

Turut hadir di mahkamah ialah suami dan anak sulungnya, Puteri Suraya serta suami kepada anaknya yang juga seorang pengarah filem, Mohd. Shadan Hashim.

Semalam, Raja Azmi, 51, terpaksa bermalam di lokap selepas ditahan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada pukul 4.50 petang setelah dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi berhubung kes saman tersebut.

Dalam tuntutan itu, Raja Azmi, Jalani dan Equal Alliance selaku pihak defendan telah disaman oleh ahli perniagaan, Hamzah Abdul Majid membabitkan penjualan sebidang tanah seluas 14.2 hektar dengan harga RM5.9 juta.

Tuntutan itu dibuat kerana mereka didakwa telah bersubahat dengan LBS Bina Holdings Sdn. Bhd. dan salah seorang pengarahnya, Joey Lim Hock Guan apabila menjual tanah itu kepada syarikat pembinaan tersebut.

Sedangkan, pihak defendan didakwa telah berjanji untuk menjual hartanah tersebut kepada Hamzah sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian bertarikh 21 Februari 1996 dengan harga RM4.9 juta.

Hamzah selaku plaintif telah memfailkan dua saman secara berasingan terhadap mereka pada 10 Disember 1998.

Pada 4 Oktober 2001, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kay Hwee Gee telah memutuskan dalam saman yang pertama bahawa perjanjian antara pasangan itu dengan ahli perniagaan terbabit adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.

Hakim itu turut memerintahkan pasangan itu membayar ganti rugi kepada ahli perniagaan itu sekiranya saman kedua yang membabitkan LBS Bina dan Hock Guan tidak memihak kepada Hamzah.

Perbicaraan kes itu ditetapkan untuk sambung bicara pada 29 November ini dengan Raja Azmi dijangka memberi keterangan berhubung satu akuan bersumpah yang dibuatnya pada 8 Februari 2006 berhubung hartanah itu.

Terdahulu, ketika Raja Azmi diminta memberi penjelasan oleh Hakim Yee Lan, wanita itu memberitahu, dia tidak menerima sebarang sapina yang memintanya hadir ke mahkamah.

”Menurut penghantar sapina, dia telah meletakkan sapina di hadapan bonet kereta kamu, itu sama dengan menerimanya sendiri. Jadi kenapa awak tidak hadir ke mahkamah?

”Apa maksud kamu maaf? Adakah awak mengatakan penghantar sapina menipu? Jadi, siapa yang menipu? Oh, awak tidak menipu, tidak apa, kita akan uruskan perkara ini nanti,” tegas hakim itu.

Hakim tersebut turut mengarahkan agar peguam plaintif, T. J. Su menyerahkan salinan sapina dan senarai dokumen yang perlu dibawa atau diberi keterangan kepada wanita itu.

”Sekarang awak tahu kes ini mengenai apa, apa yang perlu awak buat dan awak dah tahu bila awak akan datang,” ulang Hakim Yee Lan.

Menurut rekod, sapina telah diserahkan kepada Raja Azmi pada hari perkahwinan bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman.

Sapina itu diletakkan di atas bonet kereta Mercedez Benz B170 milik Raja Azmi selepas penerbit filem itu dikatakan enggan menerimanya.

Penerbit filem ‘…Dalam Botol’ itu ditahan oleh polis semalam selepas dia membuat laporan terhadap Nurhayati yang didakwa mengugutnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sehari sebelum itu, Nurhayati semasa memberi keterangan dalam permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mendakwa Roslin telah melafazkan cerai terhadapnya setelah dia mengesyaki suaminya itu mempunyai hubungan dengan Raja Azmi.

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s