Poligami: Bung Moktar selamat

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini bersetuju mengetepikan hukuman penjara sebulan ke ahli parlimen Kinabantangan, Datuk Bung Moktar Radin atasnya itu dan menggantikannya dengan denda RM1,000.

Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim berkata denda maksimun dan bukannya hukuman penjara boleh dijatuhkan kerana kesalahan itu.

Bagaimana pun jika gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama enam bulan.

Bung Mokhtar, ketika ditemui di luar mahkamah kemudian, berkata ia adalah hadiah Ramadan baginya.

“Pengalaman itu telah mengajar saya. Saya akan terus berkhidmat kepada pengundi kawasan saya.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama ahli keluarga, rakan-rakan dan pihak media yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya dengan sebak.

Isteri kedua beliau, pelakon Zizie Izette A Samad yang hadir menemani Bung Moktar turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan kepada mereka.

Tepuk bahu suami

Pasangan itu kelihatan mengalirkan air mata kegembiraan. Zizie yang memakai tudung dan berbaju kurung moden berwarna merah jambu, dilihat mententeramkan Bung Moktar berulang kali sambil menepuk-nepuk dan memeluk bahu suaminya.

Zizie Izette juga berkata beliau bersyukur kerana kemelut itu sudah berakhir.

Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman tersebut selepas Bung Moktar mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar turut didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Zizie Izette berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam penghakimannya, Mukhyuddin berkata beliau menerima lima daripada 13 petisyen yang difailkan oleh Bung Moktar selaku perayu dalam hujahan rayuannya sebelum ini.

Antara petisyen yang diterima ialah Bung Moktar merupakan pesalah pertama dan tidak pernah disabitkan dalam mana-mana kesalahan sebelum ini.

Mukhyuddin juga berkata beliau mendapati Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf apabila tidak mempertimbangkan kesalahan kali pertama sebagai faktor dalam menentukan hukuman pemenjaraan.

‘Bung sepatutnya tahu undang-undang’

Mukhyuddin berkata hukuman penjara yang dikenakan Hakim Mahkamah Rendah Syariah agak rendah jika dibandingkan dengan kedudukan Bung Moktar sebagai seorang pemimpin yang dihormati dan sebagai ahli parlimen, Bung Moktar seharusnya mengetahui tentang undang-undang syariah.

“Namun begitu, adalah tidak adil untuk mengaitkan perayu (Bung Moktar) sebagai ahli Dewan Rakyat dengan penggubalan undang-undang Syariah kerana undang-undang Syariah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Justeru mahkamah menerima petisyen perayu bahawa Mahkamah Rendah menjatuhkan hukuman penjara ke atas perayu tanpa mengambil kira kedudukannya sebagai Anggota Parlimen, dan menjatuhkan hukuman atas alasan sekiranya hukuman setimpal tidak dijatuhkan, akan mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap kredibiliti Mahkamah Syariah,” katanya.

Mukhyuddin berkata Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga gagal mempertimbangkan kesan-kesan sabitan atau hukuman penjara terhadap kedudukan dan kewangan Bung Moktar memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap keluarganya.

Beliau berkata sekiranya Bung Moktar dijatuhi hukuman penjara, ia akan mendatangkan kemudaratan kepada kedua-dua isteri dan anak-anaknya serta boleh mengakibatkan berlakunya masalah sosial.

“Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati hukuman yang sesuai dikenakan ke atas perayu ialah denda maksimum tanpa pemenjaraan. Oleh itu hukuman penjara ke atas perayu dipinda kepada denda RM1,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya.

Bung Moktar diwakili peguam syarie Amli Embong manakala pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof.

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s