MELAKA: Lapan hotel murah di Jalan Bunga Raya, Jalan Jalan Kee Ann, Jalan Munshi Abdullah dan Kampung Jawa, di sini, dikesan menjadi perhentian lelaki miang untuk melempiaskan nafsu sejak 1970-an berikutan semua hotel itu menyediakan khidmat pelacur antarabangsa dan tempatan.
Malah, perniagaan utama hotel murah itu bukan lagi sewaan bilik untuk bermalam sebagai rumah tumpangan sebaliknya bilik itu dikhaskan untuk melanggan pelacur pada kadar RM30 dan RM60 untuk sekali perkhidmatan.
Walaupun ada di kalangan hotel terbabit pernah diserbu berulang kali jabatan imigresen, polis dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) tetapi masih beroperasi berikutan ada permintaan yang tinggi untuk khidmat seks terutama di kalangan warga asing dari Bangladesh dan Nepal.
Daripada lapan hotel murah itu, dua hotel sudah ditamatkan lesen perniagaannya oleh Majlis Bandaraya Melaya Bersejarah (MBMB) atas kesalahan menyalahgunakan premis untuk tujuan maksiat sejak setahun lalu tetapi masih beroperasi seperti biasa dengan membenarkan pelanggan memasukinya melalui pintu belakang.
Tinjauan Harian Metro selama beberapa hari di hotel berkenaan mendapati, bilangan pelanggan paling ramai membabitkan warga asing pada hujung minggu.
Kebanyakan mereka yang datang berkumpulan akan datang awal ke hotel berkenaan untuk membuat tempahan bagi mengelak terpaksa menunggu lama kerana bilangan mereka yang datang ramai.
Difahamkan, kebanyakan pelacur adalah di kalangan warga Indonesia dan ada juga warga tempatan dari Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada pembabitan umat Islam dalam kegiatan itu sama ada menjadi pelacur atau pelanggan.
Katanya, sepanjang menjalankan operasi, bilangan pelacur beragama Islam kurang kerana kebanyakan mereka adalah di kalangan bukan Islam.
Mengikut statistik, pada 2004 hingga 2006, seramai 10 wanita Islam yang dipercayai pelacur ditahan.
Dalam operasi terbaru dua bulan lalu di dua hotel murah di Jalan Bunga Raya, 14 wanita berusia antara 18 hingga 30 tahun dipercayai pelacur dan empat lelaki berusia awal 30-an yang juga warga asing ditahan.
“Hotel berkenaan menjadi tumpuan warga asing pada hujung minggu bermula dari petang Jumaat hingga Ahad. Pemantauan mendapati warga asing menjadi pelanggan utama pelacur terbabit.
“Mengikut undang-undang syariah negeri ini iaitu Seksyen 75, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, mereka yang melacurkan diri boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan jika sabit kesalahan,” katanya.
Rahimin berkata, bagi membanteras kegiatan itu, pihaknya ada mencadangkan supaya pihak berkuasa MBMB yang membatalkan lesen perniagaan hotel yang didapati menjalankan kegiatan pelacuran turut memotong bekalan air dan elektrik ke premis berkenaan.
“Dengan cara itu, pemilik akan berhati-hati untuk membenarkan premisnya menjadi pusat pelacuran. Bagaimanapun, setakat ini, MBMB sudah membatalkan lesen dua hotel murah kerana kesalahan itu tetapi operasi masih berjalan kerana premis itu masih mendapat bekalan elektrik dan air,” katanya. – Sumber