Lebih 50 ahli Parlimen Australia mahu kerajaan gugur tuduhan liwat Anuar

Lebih daripada 50 ahli Parlimen Australia termasuk anggota kerajaan memerintah dan wakil pembangkang menggesa kerajaan Malaysia agar menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan 50 wakil rakyat itu menghantar satu surat menuntut agar tuduhan liwat kali kedua terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu digugurkan.

Pengerusi jawatankuasa kecil bagi hal ehwal luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad, semalam.

Surat itu berbunyi, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.”

Malah menurut surat itu, “ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.”

Laporan ABC Online menyebut, kebanyakan yang menandatangani surat itu adalah anggota Parti Buruh termasuk setiausaha parlimen Gary Gray dan Laurie Ferguson.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan, Anna Burke juga menandatangani surat itu.

Di pihak Parti Liberal yang menurunkan tandatangan ialah jurucakap alam sekitar Greg Hunt dan ketua pembangkang Malcolm Turnbull.

Perbicaraan kes liwat Anwar itu bermula 3 Feb lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan Rabu depan bagi memutuskan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma’ah menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan Anwar itu kerana memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah supaya membenarkan rayuannya mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepikan dan membatalkan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada Khamis depan sama ada beliau akan menarik diri daripada terus mendengar kes liwat itu.

Pada prosiding selama dua jam hari ini, Karpal mengemukakan bahawa tuduhan meliwat itu harus dibatalkan berdasarkan laporan perubatan oleh tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur Saiful.

Katanya bukti penetrasi merupakan elemen penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan namum tidak ada bukti kukuh.

“Laporan perubatan itu merupakan bukti. Eksibit dalam afidavit juga merupakan bukti. Ianya laporan penuh. Ia merupakan kesimpulan yang dibuat oleh tiga doktor bahawa tidada penetrasi. Mahkamah ini harus membenarkan rayuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berhujah permohonan Anwar itu tidak boleh dipertahankan kerana laporan perubatan tidak boleh dijadikan satu-satunya bahan untuk dijadikan pegangan.

“Laporan perubatan tidak lengkap sehingga doktor dan ahli kimia memberi keterangan dalam perbicaraan. Laporan perubatan bukan keterangan substantif. Ia hanya sokongan kepada doktor untuk menjelaskan di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Wisma Putra akan menjelaskan fakta-fakta mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar kepada anggota Parlimen Australia.

Anifah dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu akan dilakukan menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

“Kerajaan sedia maklum bahawa perbicaraan Anwar akan menarik perhatian pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar negara, seperti perbicaraan lain yang melibatkan beliau sebelum ini.

“Oleh yang demikian, reaksi daripada sekumpulan anggota Parlimen Australia dalam perkara ini bukanlah satu perkara yang di luar dugaan.

“Kita berharap pihak-pihak yang berkenaan akan dapat menghayati, menghargai dan menghormati keluhuran undang-undang kita yang mengutamakan keadilan dan hak rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya.

Baru-baru ini sekumpulan anggota Parlimen Australia dilaporkan menandatangani memorandum meminta tuduhan terhadap ketua Pembangkang itu ditarik balik. ~~The Malaysian Insider

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s