Tolak pemimpin cap angguk angguk, sumpah sumpah

LanH14

KETIKA di bangku sekolah (70 dan 80-an), penulis amat meminati karya-karya Hamka. Novel Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah (nama sebenar Hamka) seperti ‘Tenggelamnya Kapal Van De Wijk’ begitu mengasyikan. Baru-baru ini ketika ke sebuah kedai buku, penulis sengaja mencari buku Hamka.

Akhirnya selepas membelek-belek buku di ruang berabuk kedai itu, penulis berjaya menemui sebuah buku Hamka bertajuk ‘Lembaga Hikmat’ terbitan Pustaka Dini. Habuk-habuk pada buku itu penulis kebas-kebaskan dan segeralah mutiara dalamnya digali penulis.

Membaca kisah-kisah dalam buku itu, ternyata Hamka (1908-1981) seorang penulis merentasi sempadan bangsa, negara dan agama. Beliau menceritakan kisah penderitaan batin bangsawan di Eropah (bab Kehidupan Batin dari Orang Besar), kehidupan rahib-rahib Hindu (Babeek dan Fakir Hindi) sehingga ke istana zaman pra-Islam (Jabatan Perisik Zaman Dahulukala).

Dalam bab ‘Jabatan Perisik Zaman Dahulukala’ dengan tajuk kecil ‘Kerana Tanganku, Bukan Kerana Tangan Amer’, antara lain Hamka menulis: “Demi surat Maharaja Puteri sampai ke tangan baginda, – baginda mesyuaratkanlah dengan segenap wazir-wazir dan orang-orang besar kerajaan. Wazir cap ANGGUK-ANGGUK tentu menerima akur saja, segala titah patik junjung, apa yang baik kata raja itu adalah WAHYU dari langit, yang tak dapat dibantah.”

Demikianlah betapa pemikiran Hamka jauh ke depan. Hari ini ada ramai pemimpin cap angguk-angguk. Apa saja daripada pemimpin atasan mereka iyakan. Jika pemimpin atasan berkata; “ihsan bukan royalti” maka pemimpin cap angguk-angguk menghebohkan “ihsan bukan royalti.” Jika pemimpin atasan berkata “liwat”, mereka pun menjerit “liwat.”

Selain pemimpin cap angguk-angguk ini, ada satu lagi jenis pemimpin iaitu cap SUMPAH-SUMPAH. Pemimpin jenis ini berubah-rubah pendiriannya, dia ibarat sumpah-sumpah yang boleh bertukar warna. Kalau pokok warna kelabu, dia berwarna kelabu; kalau dahan berwarna hitam, dia pun berwarna hitam. Dia juga boleh menjadi juara lompat katak.

Orang yang suka menukar-nukar wajah ini boleh diibaratkan sesumpah (sumpah-sumpah) yang boleh menukar warna berdasarkan persekitarannya. Dulu ketika saya belajar di IPT pada tahun 80-an, perangai sesumpah ini jelas pada segelintir pelajar perempuan (maaf, saya beri contoh saja bukan mahu mengata). Jika memasuki kelas Pengajian Islam, semua bertudung, walaupun ada yang ternampak jambulnya.

Apabila ustaz atau ustazah keluar, meninggalkan kelas; mereka mencampakkan tudung dalam laci. Bye, bye pada tudung. Pada mereka kewajipan pakai tudung hanya pada kelas pengajian ustaz, yang lain tidak perlu.

Demikian betapa ramai daripada anggota masyarakat bersifat dan berperangai macam sumpah-sumpah. Mereka ingat akan agama berhubung perkara berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa dan hal-hal di masjid saja.

Apabila pergi masjid dan solat, semua ikuti peraturan; bertudung litup tetapi keluar saja masjid, tudung sudah terbang entah ke mana. Dalam masjid aje perangai baik, luar masjid sudah jadi lain kes. Kalau ke Makkah buat umrah, aduh bertudung litup, balik ke tanah air, tudung sudah terbang.

Itulah ada ustaz menyindir, sesetengah orang Melayu ini ambil agama pada tiga situasi saja. Pertama masa kelahiran; kedua masa nak kahwin (itu sebab ramai artis dan anggota masyarakat bertudung litup ketika nikah) dan ketiga masa meninggal. Mengenai bab ini, Ustaz Abd Ghani Abdul Rahman (Pesuruhjaya PAS Melaka) ada berkata, kalau bab solat jenazah, masyarakat seboleh-boleh mahukan orang seperti dia (ustaz) jadi imam, tetapi dalam bab lain terutama kepimpinan, ustaz tidak diperlukan. Sebab itu Ustaz Ghani tak menang pilihan raya di Melaka.

Perangai pemimpin cap sumpah-sumpah mudah dilihat masa pilihan raya. Sesetengahnya tunjuk aksi pandai tunggang motosikal, basikal, naik becalah, masuk bawah kolong rumah oranglah dan masuk bendanglah. Adegan ini masa meraih undi saja, lepas mereka jadi wakil rakyat, jadi YB jangan haraplah mereka buat kerja itu. Nanti dikatakan YB gilakah masuk bawah rumah orang?

Itulah namanya, banyak orang sudah jadi sumpah-sumpah. Binatang jenis sesumpah ini berlakon saja. Berlakon baik apabila diperlukan baik, dan berlakon jahat apabila diperlukan jahat. Itu depan orang, belakang orang siapa tahu? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Kalau dah tahu begitu tak baiknya spesies sesetengah calon, buat apalah dipilih pemimpin jenis sesumpah ini? Banyak orang kata, mereka mengikut saja. Orang undi pemimpin itu, aku pun undilah. Ketua kampung, imam kampung, pengerusi JKKK dan tok siak kampung pilih dia maka aku pun pangkahlah. Orang kata Pak Loh tu baik, aku pun pangkah Pak Loh.

Orang yang jenis ikut-ikut ini hendaklah takut akan ayat-ayat Allah, seperti Al-A’Raaf ayat 38-39 ini yang bermaksud: “…berkata golongan akhir (pengikut) mengenai golongan pertama (ketua) “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, oleh itu berilah azab seksa yang berlipat ganda dari neraka.” Allah berfirman “kamu masing-masing disediakan azab seksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui.” Dan berkata golongan ketua di antara mereka kepada golongan pengikut “Jika begitu tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami.” Allah berfirman “rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang telah kamu usahakan.”

Demikianlah, janganlah dipilih pemimpin sumpah-sumpah ini. Jangan fikir kita boleh terlepas tangan dengan perbuatan zalim dan kesesatan mereka (melesenkan arak, menggalakkan judi, pub dan disko, konsert sana konsert sini seperti Sure…) yang dilakukan sesetengah pemimpin ini sedangkan kita relakan tangan kita mengundi mereka. Oleh itu berfikirlah sebelum memilih pemimpin cap sumpah-sumpah atau angguk-angguk!

Sumber: * Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s