Wan Sharmila – tak serik kawin jika ada jodoh

Tak serik kahwin

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Wan Sharmila sentiasa terbuka dalam soal jodoh

“KALAU ada jodoh, apa salahnya,” demikian ungkap pelakon Wan Sharmila saat ditanya mengenai rencana berkahwin lagi pada masa mendatang. Bagaimanapun akui si genit ini lagi, tiada isyarat tertentu sama ada episod cinta itu akan bertamu di hatinya atau tidak.

Bakal menginjak usia 29 tahun 12 Oktober ini, umum tahu anak kelahiran Johor Bahru ini sudah memegang status Miss J (janda) sejak 23 Oktober tahun lalu. Jodoh antaranya dengan penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom ternyata tidak berpanjangan.

“Kahwin lagi? Saya sentiasa terbuka dalam hal itu termasuk perihal mencari pengganti. Saya juga tak pernah membataskan diri dalam soal pergaulan dan mencari kawan. Status diri tidak sesekali saya fikirkan kerana tidak mahu ia terus menjadi penghalang meneruskan kehidupan,” katanya lagi sewaktu hadir ke sesi fotografi Hip baru-baru ini.

Tambah pelakon drama Tari Tirana di TV3 ini yang sedang ralit disolek, AP Temerloh, dia bersyukur persekitaran kerja seni tidak terlalu menekan dirinya yakni terhadap skeptikal bergelar janda. Hip ajukan lagi soalan, apakah kini sudah bertemu kekasih hati. Jawapannya tinggal tanda tanya dengan ukiran senyuman bibirnya.

Enggan terus memaksa dirinya memberi kepastian terhadap kisah itu, Hip alih perhatiannya terhadap sisi gelap senario industri hiburan yang sedang didiaminya. Istilah kronisme bukan saja terjadi di dalam dunia politik, malah sejak beberapa tahun dulu perihal yang sama juga mula menyelubungi dunia seni.
GELARAN ‘Miss J’ tidak sesekali menjadi penghalang kerjaya seni Wan Sharmila.

“Realitinya bukan senang untuk saya diterima. Kesakitannya itu tetap ada, cuma ia terletak kepada cara kita menangani dan berdepan dengannya. Saya hanya menjadi diri sendiri tanpa terus larut dengan apa saja yang boleh melalaikan kita.

“Saya sendiri pernah dilabel anak emas Radius One kerana kononnya diundang berlakon disebabkan bekas suami saya bekerja di syarikat itu sedangkan peluang itu datang daripada Shahrul Ezad Mohamadin sendiri sebagai pengarah. Cuma kebetulan peluang itu datang daripada syarikat terbabit.

“Rezeki itu ada di mana-mana biarpun saya sedar saya bukan pilihan mana-mana stesen TV. Adakalanya kita kena jadi plastik sebab situasi tertentu. Saya tidak mempunyai kawan yang rapat sangat di kalangan orang industri. Saya lebih percaya keluarga dan kawan di luar bidang seni,” katanya bekas penari Yayasan Warisan Johor itu.

Menurut wanita bernama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed, industri ini banyak mengajarnya erti senang, susah, kehidupan dan kemanusiaan. Namun semuanya bukan alasan untuk dirinya terus mengundur diri kerana hingga saat ini bidang lakonan terus menjadi sumber mata pencariannya.

Di kesempatan ini juga, Wan mengambil ruang untuk mengucapkan terima kasih kepada Radius One terutama bekas suaminya dan Shahrul Ezad kerana masih memberi peluang untuknya terus melunaskan penggambaran drama siri Tari Tirana.

“Dengan apa yang terjadi termasuk perpisahan kami, kebarangkalian untuk saya ditolak daripada meneruskan penggambaran drama ini mungkin ada. Tapi Alhamdulillah hal itu tidak terjadi. Saya juga bersedia untuk terus menerima tawaran berlakon dengan Radius One pada masa mendatang,” katanya yang mengidam watak untuk genre cerita seram.

Ketika sesi fotografi berlangsung, Wan yang melaram dengan busana rekaan Nik Erwan Roseli dijelmakan persis bintang barat yang disifatkan sebagai pelik iaitu Lady Gaga. Tidak sukar sebenarnya mengendalikan fotografi ini kerana Wan sangat hebat beraksi di depan kamera.

Sambil berseloroh, Wan yang mula berlakon telefilem Sutun ini mahu saja melakukan pembedahan jika mampu menaikkan ketinggiannya. Apa tidaknya, jika mempunyai ketinggian ideal, barangkali sudah lama dia membabitkan diri dalam bidang peragaan.

“Kerana saiz saya ini juga saya sering kali diberikan watak remaja. Tak saya nafikan ada kalanya saiz diri membataskan saya untuk karakter lain. Tapi itu tidak bererti saya merungut dan sudah cukup baik. Bagi saya setiap hari adalah proses untuk belajar,” katanya yang sudah tiga tahun berada dalam industri seni.

Ketika ini, selepas tamat menjalani penggambaran drama Tari Tirana, Wan memilih untuk merehatkan diri sebelum kembali ke lokasi penggambaran. Selepas penat bekerja pada tahun lalu, Wan berhak untuk menikmati hari senggang tanpa diganggu perkara lain buat sementara waktu.

Info Wan Sharmila

# Berasal dari Johor Bahru, Johor dan dilahirkan pada 12 Oktober 1981.

# Profesionnya ketika ini sebagai pelakon dan pengacara.

# Wan Sharmila pernah terbabit dalam Yayasan Warisan Johor dan dia juga adalah bekas penari kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

# Wan Sharmila juga adalah anak saudara kepada pelakon filem dan drama tidak asing lagi, Wan Maimunah. Malahan Wan Maimunah pernah membantu untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik tetapi pada waktu itu, usianya masih terlalu muda.

# Banyak berlakon drama bersiri seperti Kisah Kaisara 1 & 2,

Sindarella, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Tari Tirana dan Rebab Tak Bertali.

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s