Rayuan Nizar di tolak

PEGUAM perayu (Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin) menghujahkan bahawa dalam kes ini perayu mengadap Sultan Perak dan memohon agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan di bawah Perkara 36(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kebuntuan dalam perjalanan sidang Dewan.

Permohonan pembubaran Dewan dibuat mengikut Perkara 36(2) bukan di bawah Perkara 16(6). Jadi, jika Sultan Perak menolak permohonan itu, perayu tidak perlu meletak jawatan.

Bagaimanapun, ia berlawanan dengan penemuan Mahkamah Rayuan yang mendapati wujud bukti mencukupi (secara lisan dan dokumen) yang menunjukkan perayu sebenarnya memohon pembubaran DUN atas alasan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli-ahlinya.

Mahkamah Rayuan telah memutuskan permohonan itu dibuat di bawah Perkara 16(6). Panel tiga hakim dalam penghakiman yang dikeluarkan secara berasingan telah meneliti perkara tersebut secara mendalam sebelum membuat keputusan.

Selepas meneliti bukti keterangan yang dikemukakan di mahkamah ini, kami berpendapat bahawa Mahkamah Rayuan betul ketika memutuskan sedemikian.

Di sini, persoalan undang-undang yang dibangkitkan di hadapan kami ialah sama ada Perkara 16(6) memperuntukkan bahawa isu kepercayaan terhadap Menteri Besar (MB) hanya boleh ditentukan dalam Dewan, bukan sebaliknya.

Perayu menghujahkan, MB setelah dilantik oleh Sultan Perak hanya berhak menjawab dalam sidang DUN. Jadi, satu-satunya cara bagi menentukan sama ada beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan atau sebaliknya, adalah melalui pembentangan undi tidak percaya.

Sekiranya undi tidak percaya diluluskan oleh sidang DUN, Sultan Perak boleh memperkenan sama ada DUN dibubarkan atau sebaliknya.

Bagi menyokong hujahnya, perayu mengemukakan nas undang-undang dalam kes Tun Datu Mustapha Datu Harun melawan Datu Mohamed Adnan Robert, Yang Dipertua Negeri Sabah dan Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Nas undang-undang itu mengguna pakai pandangan yang dikemukakan dalam kes Stephen Kalong Ningkan melawan Tun Abang Openg dan Tawi Sli.

Kami bersetuju dalam Perkara 16(6) atau mana-mana peruntukan perlembagaan negeri tiada disebut bahawa kehilangan kepercayaan terhadap MB hanya boleh dibuktikan melalui undi dalam sidang DUN.

Ini bermakna, bukti mengenai kehilangan kepercayaan boleh dikumpul daripada sumber luaran yang tersedia seperti yang dinyatakan dalam Kes Akintola yang terbukti adalah mencukupi.

Sumber-sumber berkenaan pada fikiran kami, sepatutnya termasuk pengakuan MB sendiri dan/atau representasi oleh ahli-ahli Dewan bahawa MB tidak lagi memperoleh sokongan majoriti ahli-ahlinya.

Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa wujud bukti daripada perayu sendiri selain perkara yang tidak dapat dipertikai iaitu sokongan daripada 31 ahli Dewan terhadap Barisan Nasional (BN) yang membentuk majoriti dalam sidang DUN.

Ini jelas menjadikan perayu hilang kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan dalam kepimpinannya selaku MB.

Berdasarkan alasan-alasan tersebut, kami mengesahkan persoalan pertama dan kedua secara positif bahawa tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri yang mewajibkan undi tidak percaya dibentangkan hanya dalam sidang Dewan di bawah Perkara 16(6).

Bagi mentafsirkan Perkara 16(6), kami berpendapat, perkataan ‘boleh’ sepatutnya diberi kesan mandatori.

Maka, perayu wajar dalam situasi sedemikian meletakkan jawatan sebagai MB dalam Majlis Eksekutif seperti yang didefinisikan di bawah Perkara 16(2).

Kami dengan itu bersetuju dengan hujah Zambry bahawa keengganan Mohammad Nizar meletak jawatan walaupun selepas diarah berbuat demikian oleh Sultan Perak secara jelas melanggar peruntukan Perkara 16(6).

Perkataan ‘boleh’ yang disebut dalam Perkara 16(6) perlu diberi kesan mandatori kerana jika tidak, ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negeri itu.

Perayu tidak boleh dibenarkan menerajui Perak selepas kehilangan kepercayaan majoriti. Membenarkan beliau berbuat demikian adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Bagaimanapun, kami ingin menambah bahawa perkara ini bukan titik penyudah kerana perayu terbuka untuk membuat undi tidak percaya terhadap Zambry dalam sidang DUN atau mengemukakan representasi kepada Sultan Perak pada bila-bila masa jika beliau berpendapat bahawa responden tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

Kesimpulannya, kami bersetuju dan mengesahkan persoalan undang-undang pertama yang dihujahkan.

Menjawab persoalan kedua pula, kami menyatakan bahawa isu kepercayaan terhadap MB boleh ditentukan melalui pendekatan lain selain daripada undi tidak percaya pada sidang Dewan.

Bagi persoalan ketiga pula, kami berpendapat, jika MB enggan meletak jawatan dalam Majlis Eksekutif seperti diperuntukkan di bawah Perkara 16(6), beliau dan ahli Exconya dianggap telah mengosongkan jawatan masing-masing.

Dengan itu, rayuan ditolak tanpa kos.

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s