Pelacur di India dibayar sehingga RM 15, 000 satu jam



Kebanyakan mereka adalah wanita terpelajar daripada keluarga kelas pertengahan yang melihat aktiviti pelacuran sebagai profesion yang menguntungkan dan glamor.

SEMAKIN ramai wanita terpelajar di India memilih untuk menjadi pelacur elit.

ZEBA, seorang model dan pelakon berusia 23 tahun berkata, beliau telah menemui kerjaya yang sempurna – wang yang lumayan, bergesel bahu dengan golongan kaya dan waktu kerja yang sesuai.

Zeba merupakan salah seorang daripada ribuan pelacur berharga tinggi yang memberi khidmat kepada golongan mewah India dan kumpulan ahli perniagaan asing yang tertarik dengan ledakan ekonomi negara itu.

“Sekiranya anda mendapat tugasan peragaan, anda perlu bekerja keras,” kata Zeba yang enggan memberikan nama penuhnya untuk melindungi identiti beliau, dalam bahasa Inggeris yang berloghat Amerika.

“Tetapi di sana, ia hanya satu jam. Anda perlu bercakap dengan individu itu selama setengah jam dan kemudian setengah jam lagi di atas ranjang. Anda memperoleh wang yang banyak dan tugasnya mudah,” tambah Zeba yang mengenakan caj RM15,000 untuk pertemuan selama sejam, di mana separuh daripada pendapatan itu disimpan oleh agensi pengiring.

Pelacuran adalah haram di India. Namun, kumpulan-kumpulan sukarela menganggarkan terdapat kira-kira dua juta pekerja seks, kebanyakannya dipaksa ke dalam perdagangan itu oleh tahap kemiskinan yang melampau.

Ramai di antara mereka mengalami jangkitan HIV dalam sebuah negara yang berada di tempat ketiga dunia tertinggi yang mempunyai kes penyakit tersebut.

Pelacur seperti Zeba tinggal dalam dunia yang jauh daripada jalan terkenal di New Delhi, G.B. Road, sebuah wilayah lampu merah. Bekerja sebagai pelacur merupakan satu pilihan, mengadakan perdagangan di hotel-hotel bertaraf lima bintang dan bukannya di kawasan jalanan mahu pun rumah pelacuran.

Kebanyakan pengiring bercaj tinggi seperti Zeba adalah wanita terpelajar daripada keluarga kelas pertengahan yang melihat aktiviti pelacuran sebagai profesion yang menguntungkan, malah penuh dengan glamor.

“Hanya dua sehingga tiga peratus pelacur di India memasuki profesion ini secara sukarela. Mereka adalah wanita-wanita kelas tinggi dan mereka melaksanakan hak demokratik masing-masing,” kata Ranjana Kumari, Pengarah Pusat Penyelidikan Sosial di New Delhi.

GADIS yang terpelajar melihat pelacuran sebagai satu aktiviti yang menguntungkan.

Tambah Kumari: “Teman-teman kelas mewah ini pastinya hasil daripada globalisasi negara ini.”

Pertumbuhan kegiatan pelacuran mewah di India menarik perhatian bukan sahaja kemewahan yang didapati di kalangan golongan kelas atasan yang mempunyai wang untuk mengambil pelacur-pelacur seumpama itu, tetapi juga peranan wanita yang kian berubah dalam masyarakat yang amat konservatif itu.

Seks sebelum berkahwin adalah tabu dan filem-filem Bollywood hanya akan mengusik imaginasi tetapi secara umumnya akan berhenti di tahap percumbuan.

Bagaimanapun, kemewahan ekonomi yang baru dicapai negara itu dan kelas pertengahan yang semakin bertambah juga telah membawa kepada selera yang tidak pernah puas untuk segala benda mewah dalam kehidupan – daripada pakaian-pakaian berjenama ke kereta mewah sehinggalah hidangan malam dengan champagne.

“Dengan perubahan dalam ekonomi dan peningkatan dalam konsumerisme, wanita-wanita India berada dalam tekanan untuk mematuhi imej kapitalis yang memerlukan wang yang banyak,” kata Anuja Agrawal, seorang ahli sosiologi di Universiti Delhi.

Sekiranya masyarakat India benar-benar membenarkan wanita mereka bebas, mereka tidak akan dipaksa untuk mematuhi sikap-sikap yang tegar seumpama itu.

Kebanyakan pekerja seks mewah di India mengenakan caj antara RM750 sehingga RM3,750 sejam. Namun, terdapat juga yang meminta bayaran berlipat ganda lebih tinggi.

“Saya memberi perkhidmatan kepada golongan kaya, jutawan dan juga usahawan perniagaan. Sudah tentu ia satu industri yang besar dan di India, khususnya adalah satu industri yang tumbuh pesat,” kata Sameer Chamadi, yang menguruskan sebuah agensi pengiring di India yang mempunyai cawangan di Dubai dan London.

“Sekiranya lelaki itu mempunyai wang, mereka boleh melanggan pengiring saya,” tambah lelaki itu.

Perniagaannya merupakan salah satu daripada pelbagai agensi pengiring talian yang tumbuh dalam Internet di India.

Pihak polis di India berkata, mereka cuba menguatkuasakan undang-undang antipelacuran dengan memeriksa iklan-iklan kecil dan di Internet kepada mereka yang melanggan seks.

Tetapi mereka mengakui bahawa adalah sukar untuk membanteras kegiatan pelacuran kelas atasan. Pertemuan pelanggan-pelanggan mereka biasanya diatur dan dilaksanakan secara tersembunyi.

Chamadi dan pemilik agensi pengiring lain berkeras mengatakan bahawa gadis-gadis pengiring mereka adalah berbaloi. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk pelanggan, daripada perbualan yang merangsangkan sehinggalah kepada obsesi perhambaan.

“Ia adalah perbezaan kelas yang amat jelas dan dengan kami, ia bukan hanya ’slam, bang, thank you Ma’am’. Anda boleh duduk dan berbual dengan kami,” kata Zeba.

KEKURANGAN wang menyebabkan ramai wanita menjadi pelacur di India.

Memulakan kerjaya di Mumbai sebagai seorang model, Zeba, seorang graduan kolej mendapat peluang keemasan dalam arena perfileman melalui seorang pelanggan yang mempunyai pengaruh besar di Bollywood.

Gadis tersebut tidak mempunyai sebarang kekesalan dalam memilih profesion tersebut.

“Saya benar-benar benci mereka yang hipokrit – berlakon untuk tidak menyukai sesuatu tetapi pada hakikatnya mereka menggemarinya.

“Maksud saya, seks bukanlah suatu perkara yang hanya diingini lelaki tetapi juga golongan wanita,” katanya.

– Reuters

Perihal Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Pelacur di India dibayar sehingga RM 15, 000 satu jam

  1. hatimati says:

    lama tak bukak dah makin banyak ke info an kat laman ni

  2. pakcikli00 says:

    Saya pun tertanya tanya jugak kenapa saudara lama tak bukak.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s